MOHAMAD HAFIZHAN BIN MOHD KAMARUDIN (D20191088830)

Pengurusan Pelajar Pelbagai Upaya (Pemulihan)

 Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan “pulih” bermaksud kembali seperti biasa atau kembali dalam keadaan semula. Manakala “pemulihan” bermaksud perbuatan memulihkan dan pengembalian kepada keadaan semula. Dalam konteks pelajar pelbagai upaya, pemulihan merujuk kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah dalam pembelajaran. Pembelajaran pemulihan kebiasaannya dikaitkan dengan usaha untuk memperbaiki sesuatu kekurangan atau memperbetulkan sesuatu.
 Definisi program pemulihan khas ialah satu program pendidikan disediakan untuk murid yang mengalami masalah dalam penguasaan kemahiran asas membaca, menulis, mengira (3M) yang kompleks disebabkan oleh factor persekitaran. Program ini dijalankan oleh guru yang khusus, di ruang yang khusus. (Jabatan Pendidikan Khas, KPM, 2008). “Pendidikan pemulihan ialah tindakan-tindakan pendidikan khas yang digunakan untuk memenuhi keperluan-keperluan kanak-kanak yang menghadapi kesulitan pembelajaran, kanak-kanak pemulihan menghadiri kelas khas dalam sekolah biasa, atau pusat pemulihan khas secara sambilan, atau menyertai kumpulan yang diundurkan dari kelas biasa untuk diajar oleh seorang guru pemulihan.” (National Association for Remedial Education ‘NARE’ Great Britain – 1977). Pemulihan dalam KBSR ialah proses pengajaran dan pembelajaran yang khusus untuk murid-murid yang menghadapi masalah atau kesukaran belajar dalam menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira”. (Panduan Am KBSR - 1982).

Konsep Pemulihan dalam KBSR

 Pada tahun 1983, sistem pendidikan Malaysia telah memperkenalkan KBSR. Kurikulum baru ini merupakan satu usaha untuk kembali semula kepada asas pendidikan dengan memberi fokus kepada 3M dan murid-murid yang tidak dapat menguasainya akan dibantu melalui Program Pemulihan Khas. Pengajaran dan pembelajaran pada tahap 1 (tahun 1-3) akan membolehkan guru-guru mengenalpasti murid-murid yang mempunyai masalah penguasaan 3M. Di dalam KBSR, terdapat beberapa jenis program pemulihan yang dijalankan sama ada di dalam kelas dan di kelas khas. Di antara program yang dijalankan di dalam kelas adalah seperti KIA2M, PROTIM selain daripada aktiviti pemulihan dalam kelas. Manakala program Pemulihan Khas pula dijalankan dikelas khas menggunakan withdrawal system.

Pemulihan dalam Kelas

  Pemulihan dalam kelas merupakan pemulihan KBSR iaitu program pemulihan yang dilakukan di dalam kelas biasa. Di dalam program pemulihan ini, guru-guru harus mambantu murid yang lemah dalam menguasai kemahiran yang telah dipelajari.

 Program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M)

  Program Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M) bertujuan untuk membantu murid yang belum menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu pada tahun satu. Kumpulan murid ini adalah terdiri daripada mereka yang lambat atau belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis. Mereka ini bukan hanya terdiri daripada murid pemulihan khas tetapi juga dari kalangan murid yang hanya perlukan pemulihan dalam kelas. Oleh itu, strategi pengajaran dan pembelajaran yang hendak digunakan perlulah sesuai dengan keperluan untuk membantu murid ini menguasai kemahiran asa ini dengan seberapa segera yang boleh. Di dalam program ini, murid dikehendaki menduduki Ujian Pelepasan sebelum dibenarkan keluar atau lulus dari kelas pemulihan itu. Jika ujian pelepasan itu gagal, mereka harus masuk ke kelas pemulihan khas pada tahun berikutnya.

PROTIM (Program Pemulihan 3M)

  PROTIM ini merupakan usaha dan upaya untuk memastikan semua murid bermasalah yang bakal menamatkan pendidikan rendah dapat menguasai sekurang-kurangnya 3M (membaca, menulis dan mengira), tidak tercicir dari prasekolah serta dapat mengikuti pelajaran di peringkat seterusnya iaitu peringkat sekolah menengah. Program ini dilaksanakan untuk membantu murid tahun 4 hingga 6 untuk menguasai 3M. Pada akhir tahun iaitu pada tahun 6, satu pascaujian akan dijalankan kepada pelajar tahun 6 selepas mereka habis menjalani peperiksaan UPSR. Perkara ini dijalankan agar para murid yang mempunyai masalah 3M dapat menguasainya sebelum melangkah ke peringkat sekolah menengah. Dalam program ini, latihan yang mata pelajaran yang ditekankan untuk dikuasai oleh murid-murid ini ialah Bahasa Melayu dan Matematik.

Program Pemulihan Khas

 Program pemulihan khas dilakukan dengan menggunakan withdrawal system. Di dalam program ini, untuk mengenalpasti murid yang seharusnya menduduki program pemulihan khas ini harus melalui ujian saringan. Jika ada murid yang gagal dalam ujian itu, mereka harus menjalani program pemulihan khas ini. Bagi murid-murid yang menjalani program pemulihan khas ini, mereka harus ke kelas pemulihan pada waktu tertentu sahaja kerana tidak semua mata pelajaran yang harus ditekankan dalam program ini, hanya 2 mata pelajaran sahaja yang dijalankan dalam program ini iaitu Bahasa Melayu dan Matematik. Bagi pelajar-pelajar yang sudah dapat menguasai masalah asas dalam dua mata pelajaran tersebut, mereka akan dihantar balik ke kelas biasa manakala bagi pelajar yang masih banyak mempunyai masalah, mereka harus dimasukkan ke dalam kelas khas secara sepenuh masa.

Rasional Pendidikan Pemulihan Khas

Dari sudut falsafah, rasional pendidikan pemulihan khas ialah pelaksaan program pemulihan khas akan memnuhi keperluan setiap murid yang ketinggalan kerana tidak dapat belajar sepenuhnya dalam kelas biasa. Oleh itu, ianya adalah selaras dengan konsep “pendidikan untuk semua”.
Dari sudut pencegahan pula bermaksud masalah yang dialami oleh setiap murid akan bertambah dan semakin menyulitkan jika tidak ditangani dengan segera. Jadi pelaksaan program ini amatlah diperlukan bagi memenuhi tuntutan tersebut.

Objektif Pendidikan Pemulihan Khas

• Objektif pendidikan pemulihan khas ini ialah untuk membantu murid-murid mengatasi masalah-masalah dalam penguasaan kemahiran-kemahiran asas dengan pendekatan, kaedah, bahan-bahan alternative selaras dengan potensi dan minat murid.
• Memberi khidmat layanan dan perhatian individu dari segi pembelajaran mengikut kadar perkembangan intelek kanak-kanak yang berbeza di antara satu sama dengan yang lain.
• Memperkembangkan potensi murid-murid semaksimum mungkin.
• Meneruskan proses pembelajaran murid-murid dalam system persekolahan biasa.

Peranan Guru Pemulihan Khas

1. Peranan Penilaian (Assessment Role)
• Menyediakan dan menjalankan ujian saringan untuk mengenalpasti murid-murid yang menghadapi masalah penguasaan kemahiran asas 3M.
• Menjalankan ujian diagnostik untuk mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi oleh murid secara khusus.
• Menjalankan penilaian berterusan dan merekod dengan rapi dan sistematik.

 2. Peranan Preskriptif (Prescriptive Role)
• Merancang, menyedia dan melaksanakan program secara individu bagi murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran yang tertentu.
• Mengadakan bengkel atau demonstrasi pengajaran pemulihan sekiranya diperlukan.

 3. Peranan Pengajaran (Therapeutic Role)
• Mengajar dengan menggunakan berbagai pendekatan dan kaedah serta penggunaan bahan dan aktiviti yang berfungsi agar objektif-objektif pembelajaran khusus dapat dicapai.
• Menilai dan merekod prestasi murid dari semasa ke semasa.
• Mengajar bersama-sama dengan guru kelas secara ‘team-teaching’ atau ‘khidmat damping sekiranya perlu.

  4. Peranan Khidmat Bantu (Supportive Role)
• Membantu guru-guru merancang dan mengubah suai aktiviti-aktiviti dan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran.
• Membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada guru-guru mengenai teknik-teknik mengajar kanak-kanak yang menghadapai masalah pembelajaran.

Comments